ศัตรูที่แท้จริงของมนุษย์คือปัญญาและการถูกสาปจะไม่รู้

ศัตรูที่แท้จริงของมนุษย์คือปัญญาและการถูกสาปจะไม่รู้
Teman manusia yang sebenar ialah akal dan musuhnya yang celaka ialah jahil. ( Saidina Ali Abi Talib)


Hutang Sana-Sini


Apabila seseorang telah meninggal dunia, antara tuntutan terhadap mereka yang hidup adalah untuk menguruskan jenazah yang telah meninggal tadi. Hukumnya fardhu Kifayah bagi sekelompok masyarakat di sesuatu kampung. Pengurusan jenazah ini termasuklah memandikannya, mengkafankan, menunaikan solat jenazah dan seterusnya mengembumikannya di tanah perkuburan.

Sesusai pengurusan tersebut, keluarga waris biasanya akan berkumpul bagi menguruskan pula harta pusaka yang ditinggalkan arwah. Harta yang ditinggalkan ini penting diuruskan terutamanya apabila ia melibatkan hutang arwah yang perlu dijelaskan.
Dari Abu Hurairah r.a katanya; Rasulullah saw bersabda: “Roh orang mati yang beriman tergantung (diawang-awangan) dengan sebab hutangnya, sehinggalah hutangnya dibayar oleh warisnya atau orang lain”. (Hadith riwayat Tirmizi)
Demikianlah saudara perihal hutang yang begitu penting untuk dibayar dan dibereskan. Jika arwah tidak sempat untuk melunaskan hutang-piutangnya ketika hidup, maka menjadi tanggungjawab kepada waris untuk menyelesaikan hutang-piutang tersebut.
Bila kita berbicara soal hutang, hampir mustahil untuk kita menemui orang yang hidupnya tidak ada pengalaman berhutang. Kehidupan kita hari ini seolah-olah telah menjadikan berhutang suatu perkara yang wajib tanpa kita sedari. Sesiapa yang ingin melanjutkan pengajiannya ke peringkat diploma, ijazah hatta ke peringkat sijil kemahiran pun perlu berhutang terlebih dahulu bagi menampung yuran pengajian dan perbelanjaan harian.
Bagi yang memperoleh biasiswa, Alhamdulillah. Mereka sudah pasti terlepas daripada bebanan hutang puluhan ribu ringgit apabila sudah tamat pengajian. Walaubagaimanapun, tidak semua yang dapat peluang seperti ini. Kadang kala aku terfikir juga saudara, alangkah bagusnya andai ketirisan dan kebocoran sebanyak RM28 bilion setahun itu dapat dielakkan. Cuba saudara bayangkan berapa ramai rakan-rakan kita yang lain boleh menikmati peluang mendapat biasiswa daripada wang rakyat sebanyak itu.
Setelah kita tamat pengajian, kalau ada rezeki kita akan dapat tawaran bekerja. Bila bekerja, sudah pastilah kita memerlukan kenderaan untuk berulang-alik ke tempat kerja. Biasanya, anak muda yang baru bekerja akan mula memikir-mikirkan kereta apa yang sesuai untuk mereka miliki. Hendak pakai kereta saudara, dengan gaji yang ada, barangkali bertahun-tahunlah kita mengumpul wang untuk membeli kereta secara tunai. Mahu tidak mahu, kita terpaksa berhutang dengan bank bagi memiliki sebuah kereta.
Sudah ada kereta, mulalah pula untuk memikirkan soal untuk berumah tangga. Hendak kahwin dengan seorang wanita pada hari ini bukan mudah saudara. Walaupun proses perkahwinan itu tampak mudah, tetapi ianya memerlukan kos. Nasiblah saudara, kalau kena hantaran tinggi, hendak kahwin punya pasal, maka mahu tidak mahu saudara kena berhutang.
Baiklah, setelah berkahwin, saudara akan mula mencari rumah untuk keluarga saudara. Harga rumah sekarang ini boleh tahan juga terutamanya di kawasan bandar. Ratusan ribu ringgit bagi seunit rumah yang agak selesa. Untuk membelinya, sekali lagi saudara akan berhutang. Tanpa disedari, dalam usia yang masih muda, saudara telah menanggung pelbagai hutang. Hutang pengajian, hutang kereta, hutang kahwin dan hutang rumah. Ini belum lagi hutang perabot, hutang barangan elektrik dan bermacam hutang yang lain. Pendek kata, gaji saudara setiap bulan, sebahagiannya habis untuk membayar hutang sahaja.
Untuk pengetahuan saudara, Malaysia merupakan negara kedua tertinggi di Asia selepas Jepun dalam nisbah hutang isi rumah-KDNK (household debt-to-GDP ratio). Perlu diketahui, purata pendapatan per kapita rakyat Jepun adalah lebih kurang RM8ribu sebulan berbanding Malaysia hanya RM2ribu sebulan dan 40% pekerja di Malaysia memiliki pendapatan kurang RM1,500 sebulan. Berdasarkan statistik, hutang isi rumah di Malaysia meningkat sebanyak 11.1% setahun dari tahun 2004 hingga 2009 yang menunjukkan peningkatan nisbah hutang isi rumah-KDNK dari 66.7% kepada 76%. Berdasarkan statistik yang dikeluarkan oleh Bank Negara, jumlah pinjaman keseluruhan dari sektor perbankan berjumlah RM893.3 bilion pada akhir Januari 2011, yang mana RM494.87 bilion atau 55.4% daripadanya adalah melibatkan hutang isi rumah.
Pinjaman perumahan merupakan pinjaman paling besar iaitu RM240.387 bilion atau 48.6% diikuti pinjaman kenderaan sebanyak RM124.48 bilion atau 25.2% dan hutang kad kredit iaitu RM30.4 bilion atau 6.1% daripada keseluruhan hutang isi rumah. Keadaan rakyat yang terlalu terbeban dengan hutang boleh mempengaruhi kerancakan ekonomi di sesebuah negara. Antara faktor yang melemahkan ekonomi Eropah dan Amerika masa kini adalah disebabkan tangungan hutang yang begitu tinggi. Ini kerana, banyak isi rumah terpaksa bayar balik hutang dan bukannya berbelanja.
Sebab itu, bagi mengurangkan beban hutang ini dari terus melambung tinggi, Bank Negara mengambil langkah untuk meletakkan syarat yang ketat terhadap permohonan baru kad kredit. Ada sesetengah penganalisis ekonomi berpandangan bahawa, langkah kerajaan untuk memperkukuhkan jaringan pengangkutan yang komprehensif mampu untuk mengurangkan beban hutang isi rumah tatkala rakyat mula mendapat pilihan dalam menggunakan pengangkutan awam berbanding menggunakan kereta.
Ini kerana, harga kereta di Malaysia adalah yang paling tinggi di dunia jika dinisbahkan dengan pendapatan rakyat yang rendah. Hal ini berlaku sebenarnya berpunca daripada dasar ‘protectionist’ yang mengakibatkan harga kereta yang tinggi di negara kita (ditinggikan cukai). Tetapi persoalannya, jika projek pengukuhan sistem pengangkutan menjadi satu-satunya fokus dalam menangani isu ini, maka biasanya projek itu hanya boleh dinikmati oleh  sekumpulan rakyat di Lembah Klang dan di bandar-bandar tertentu sahaja.
Sebab itu saudara, ada kewajaran untuk diteliti dan dipertimbangkan tentang tuntutan perlaksanaan gaji minimum. Dalam keadaan rakyat yang berhutang sana-sini di samping kos hidup yang meningkat (banyak Barang Naik), sudah tiba masanya untuk gaji rakyat dinaikkan dan diwujudkan gaji minimum. Untuk pengetahuan saudara, purata gaji pekerja Malaysia hanya menokok 2.6% dari tahun 2000-2010 berbanding pendapatan purata dari seluruh dunia yang menokok sebanyak 3.2% dalam tempoh yang sama. Jesteru,  perlaksanaan gaji minimum ini nanti akan melegakan seluruh rakyat di desa mahupun di bandar untuk mereka berbelanja sekadar memenuhi kos keperluan harian yang semakin meningkat di samping dapat memperbaiki kualiti hidup rakyat.

No comments:

Post a Comment